SLIDE

Wednesday, September 1, 2010

Tokoh puisi



J.M Aziz nama diberi,
melakar sajak dipantai nan indah,
tokoh penyair juga di sini,
puitisnya puisi pelbagai kisah.

Di Terengganu terdapat seorang tokoh puisi yang sangat dikenali ramai dengan puisi-puisinya yang berkaitan dengan lautan,dan sentiasa mendapat perhatian ramai.

AYAHNYA bernama Abdul Rahman Hassan, seorang peniaga, qari, juga seorang ahli qasidah yang terkenal di Terengganu. Ibunya, Mek Ngah Ismail, seorang guru al-Quran, juga terkenal sebagai penggerak lagu-lagu daerah negeri Terengganu, terutamanya yang berunsur Islam.
Sejak berusia lapan tahun lagi, J.M. Aziz telah memperlihatkan bakat seni yang diwarisi daripada orang tuanya. Beliau kerap diundang untuk memperdengarkan pantun, syair dan lagu-lagu daerah negeri Terengganu dalam majlis-majlis keraian.
J.M. Aziz menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Seberang Takir hingga tamat darjah lima. Kemudian melanjutkan pelajaran, juga belajar bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Pelajaran agama diterima daripada kedua-dua orang tuanya.
Beliau dapat dianggap sebagai penyair yang produktif sejak tahun 1950-an. Sejak empat dekad lalu itu, beliau menceburkan diri di lapangan kebudayaan dan kesenian, pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Belia Seroja yang bergiat cergas dalam bidang kebudayaan dan sukan. Beliau pernah bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Hutan ke-XIV dari tahun 1951 hingga 1953. Pada awal tahun 1960-an pula, beliau menjadi Pegawai Penerangan Sukarela untuk Pejabat Penerangan Kuala Terengganu.
Sejak dahulu hingga ke akhir hayatnya, beliau kerap menabur khidmat secara sukarela kepada pihak Muzium Negeri Terengganu, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, badan-badan kebudayaan dan kesenian dengan memberi buah fikiran dan sumbangan karya kreatifnya untuk projek-projek tertentu. Beliau adalah antara Pengasas Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA).
Kediaman beliau yang diberi jolokan “Rumah Puisi” di Seberang Takir sering dikunjungi pelajar-pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan para penulis dari seluruh negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman tentang sastera dan sejarah tanah air. Meskipun kekurangan dari segi fizikal, beliau sentiasa mengikuti perkembangan semasa di dalam mahupun luar negara menerusi media elektronik dengan mendengar sahaja dan media cetak yang dibacakan oleh tiga orang anaknya, Najib, Zulkifflee dan Rohaidah yang menjadi jurutulisnya yang setia.
Menurut J.M. Aziz, dua orang Sasterawan Negara, iaitu Dr. Usman Awang dan A. Samad Said adalah pendorong kepada beliau terus berkarya. Beliau pernah menggunakan berbagai-bagai nama pena; antaranya ialah Aziz Rahman, Indra Mesra, Abdul Rahman, Azizah Rahman dan Jiwa Merana. Sasterawan Negara A. Samad Said memberikannya nama J.M. Aziz dan nama inilah yang kekal digunakan hingga akhir hayatnya.
Puisi-puisi J.M. Aziz turut dijadikan lagu oleh Ibrahim Bachik. Manakala puisi “Kesian Dia” dan “Penyu Menangis” (Siapalah Tahu) dijadikan lagu dan dinyanyikan oleh Sudirman Haji Arshad (Allahyarham).Selain menyanyikan lagu-lagu puisi karyanya sendiri, J.M. Aziz juga berkemampuan menyanyikan lagu-lagu daerah negeri Terengganu. Dalam tahun 1950 hingga 1960, beliau pernah berusaha secara sendirian, mengkaji dan menyelidik lagu-lagu daerah tersebut. Daya ingatan dan hafalannya menjadi kunci kekaguman sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Tahun 1965 merupakan detik “hitam” bagi penyair Pantai Timur ini. Beliau kehilangan kekuatan daya fizikal dan terpaksa dirawat di Pusat Pemulihan Penyakit Kusta di Sungai Buloh, Selangor. Sejak itulah ayah kepada tujuh orang anak ini tidak dapat melihat keindahan alam. Isterinya, Puan Lijah binti Daud, yang lebih mesra dengan panggilan “Cik De Jah”, banyak membantu beliau dalam menguruskan keluarga dan tugas seharian.
Dalam suratnya kepada PENA (Persatuan Penulis Nasional) pada suatu ketika dahulu, J.M. Aziz berkata; “Puisi adalah penawar jiwa luka saya… ia memupuk semangat dan menenangkan jiwa lara saya…” Bagi J.M. Aziz lagi, puisi adalah sebahagian daripada hidupnya yang dianggap telah sebati dalam jiwanya sebagai penyair. Manakala laut pula mengandungi berbagai-bagai cerita dan khazanahnya. Ada cerita gembira dan ada cerita duka kerana menurutnya laut itu adalah kehidupan manusia itu sendiri.
Puisi-puisi J.M. Aziz mewakili keresahan dan kegulatan hidup masyarakat nelayan dan golongan bawahan lainnya. Beliau tidak betah menulis tentang penderitaannya sendiri. Katanya; “Tidak, tidak akan saya tuliskan itu semua. Menulis puisi-puisi yang demikian akan membuat diri saya semakin terseksa. Saya lebih senang berperanan sebagai suara sepi dan hiba golongan bawahan. Saya tidak mewakili diri saya sendiri. Diri saya ini adalah mereka sebenarnya…”
Puisi-puisinya berenang dan menyelam di sekitar “laut” dan berkolek berdayung kisah “nelayan”. Baginya “laut” dan “nelayan” adalah nafas dan nyawanya, seluruh hidupnya. Bukan semata-mata kerana beliau adalah anak Pantai Timur, anak nelayan, tetapi beliau adalah laut dan nelayan itu sendiri. Baginya, puisi adalah wadah untuk beliau menyelongkar rahsia alam dengan segala keindahan meskipun dengan pancaindera yang terbatas. Seperti katanya; “Cukuplah kalau saya terus dapat menulis atau menghasilkan puisi. Cukuplah kalau laut lepas itu menjadi temannya bersama bisikan angin Pantai Timur yang berteduh di Seberang Takir.”
Sebagai penghargaan terhadap komitmen yang tidak pernah mengenal lelah dalam dunia sastera tanah air, khasnya dalam genre puisi, J.M. Aziz telah banyak menerima anugerah daripada pelbagai pertubuhan. Pada tahun 1990, beliau dinobatkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan Anugerah Budaya bagi kategori Penggiat Kesenian Sezaman (Tokoh Penulis Budaya/Sastera dan Sejarah). Manakala di peringkat nasional, beliau telah dipilih sebagai penerima ulung Anugerah PENA.
Pada tahun 1980, beliau telah menerima gelaran Tokoh Penyair Terengganu oleh Ruang Teater Tamu Terengganu. Kemudian puisi beliau yang berjudul “Berlabuh dan Berkayuh” telah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85, dan Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu pula menganugerahi beliau Tokoh Teater Terengganu 1989. Puisi yang berjudul “Nasi Ayam laut Sepinggan” telah memenangi hadiah utama bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001.
Ternyata kisah hidupnya yang penuh ranjau itu menyentuh jiwa rakan, saudara mara, sahabat seperjuangan dan khalayak seni. Sebagai menghargai perjuangan penyair yang tabah dan yakin mengharungi lautan seni ini, secebis kisah hidupnya telah diangkat menjadi drama pentas oleh Sasterawan Negara Noordin Hassan. Malam Ini Penyu Menangis merupakan manifestasi kegigihan insan seni yang tidak pernah mahu mengaku kalah. Drama ini dipentaskan pada 1 hingga 10 Jun 1994 di Panggung Eksperimen Komplek Budaya Negara, Kuala Lumpur.
SUMBER: http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=892&IID=

1 comment:

  1. Saya masih ingat pada tahun 1959, saya bertolak dari Kuala Terengganu waktu pagi ke KL. Mula-mula naik bas warna merah ke Kemaman. Untuk ke kemaman terdapat 7 sungai yang perlu diseberangi dengan feri. 1. Kuala Ibai, 2. Marang 3.Dungun 4. Paka 5. Sg. Kertih 6. Sg. Kemasik dan 7. Sg Chukai. Di Hentian bas Chukai, tukar bas warna aluminium ke Kuantan. Menyeberangi dengan Feri ke 8. Sg. Kemaman dan sampai di Kuantan waktu petang. Tidur semalaman di hotel. Pagi esoknya naik bas warna biru ke KL. dan menyeberangi sg Kuantan kali ke 9 dengan feri. Sampai di Temerloh lagi sekali (kali ke 10) seberang sungai pahang dengan feri. Sampai di Ketari makan tengahari dan sampai KL dah waktu petang di Malaka Street.

    ReplyDelete