SLIDE

LAGU NEGERI

Lagu Kebesaran Negeri atau Lagu Selamat Sultan yang digunakan hingga masa kini digubah dalam tahun 1927 ini semasa pemerintahan Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Penggubahnya ialah Cikgu Cikgu Mohd Hashim bin Abu Bakar; peranakan Singapura yang semasa itu menjadi seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga, Kuala Terengganu. Beliau juga seorang Guru Pancaragam Pasukan Pengakap Sultan Sulaiman.



Lagu ini telah disusun oleh beliau bagi menjunjung titah perintah Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Setelah lagu itu siap, ia telah dipersembahkan dan diperdengarkan kepada Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan. Baginda telah mengampuni perkenan menerima lagu itu dan ia dijadikan "Lagu Selamat Sultan". Susunan senikata lagu asal adalah seperti berikut


Allah peliharakan Raja kami


Sultan Terengganu Negeri


Allah peliharakan Raja kami


Sejahtera dua laki isteri


Allah peliharakan Raja kami


Memerintah Terengganu Negeri


Susunan senikata asal telah disusun dan digubah semula oleh Pejabat Pelajaran Negeri Terengganu selepas pemerintahan Jepun dan kekal sehingga 9 Mac 1990. Senikata lagu yang telah digubah semula seperti berikut:


Allah peliharakan Raja kami


Memerintah Terengganu Negeri


Allah peliharakan Raja kami


Sejahtera suami isteri


Allah peliharakan Raja kami


Sentosa rakyat negeri


Pada tahun 1989, Allahyarham Dato' Setia Jasa (Dato' Haji Mohd Salleh bin Haji Awang) telah mencadangkan supaya senikata lagu "Selamat Sultan" diubahsuai. Sehubungan dengan itu, Pentadbiran Negeri telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa seramai 8 orang yang telah diketuai YB. Setiausaha Kerajaan Terengganu (YB. Dato' Setia Wangsa) bagi mengkaji semula senikata lagu "Selamat Sultan". Sebahagian senikatanya didapati kurang sesuai dengan keadaan sekarang dan tidak pula mengikuti bahasa Istana. Jawatankausa ini telah membuat beberapa pindaan ke atas lagu lama tersebut.


Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah mengampuni perkenan dengan pindaan senikata lagu "Selamat Sultan sepertimana lagu:


Allah daulatkan Tuanku Sultan


Terengganu Darul Iman


Allah peliharakan Tuanku Sultan


Sejahtera sepanjang zaman


Allah rahmatkan Tuanku Sultan


Memerintah rakyat aman


Senikata lagu "Selamat Sultan" di atas telah digunapakai sehingga sekarang.