SLIDE

DESTINASI PELANCONGAN UTAMA

Destinasi yang dipaparkan di sini adalah destinasi yang sering menjadi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu




PASAR PAYANG




Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar.

Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini.
Sewaktu di sini, cubalah menjamu selera dengan hidangan tempatan istimewa - Keropok Lekor - keropok rangup yang dibuat dari campuran ikan dan tepung sagu. Keropok ini lazimnya dimakan bersama sos cili. Sungguh enak!

Pengangkutan
Jalan Kaki atau TeksiPasar Payang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu di talian : +609-622 1433 / 1893

Penginapan
Bandar Kuala Terengganu menawarkan pelbagai jenis tempat penginapan dari asrama pengembara yang ringkas hingga hotel bertaraf 5-bintang
SUMBER: http://www.tourism.gov.my/my/


TASIK KENYIR




Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar.
Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.
Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang.
Ia turut menempatkan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.
Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah.
Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.
Tasik Kenyir juga pintu masuk ke Taman Negara melalui laluan Tanjung Mentong.


Tips
Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Jeti Gawi ialah pintu masuk utama ke tasik itu yang terletak bersebelahan Pengkalan Utama. Jeti itu juga mempunyai perkhidmatan bot untuk mengelilingi kawasan pulau dan pertukaran ke resort di sini.

Pengangkutan

Kereta
Terdapat beberapa laluan alternatif untuk ke Tasik Kenyir. Jika anda menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur, ikut laluan ke Ajil melalui lebuh raya ke lebuh raya Jerengau-Jabor, kemudian menuju ke Kenyir. Pilihan lain ialah mengikuti laluan pesisiran pantai melalui Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan terus ke kawasan Tasik Kenyir.

Bot
Terdapat beberapa pengendali bot sewa dari Jeti Gawi, anda boleh menggunakan bot bertingkat atau bot kaca merentasi Tasik Kenyir. Anda dinasihatkan untuk membuat tempahan, ada beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej percutian.

Kapal Terbang
Terbang dengan pilihan Malaysia Airlines atau Air Asia. Mereka terbang setiap hari ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, anda boleh menggunakan teksi dan terus ke Tasik Kenyir. Tambang adalah sekitar RM 60.00. Jika anda ke Kuala Berang, tambang sekitar RM30.00.

Talian Untuk Dihubungi
Pusat Maklumat Pelancongan, Pengkalan Gawi Tel : 09-626 7788 atau 666 8498 atau hubungi Ketengah Tel : 09-822 3100 sambungan 103.

Penginapan
Penginapan di sini terdiri dari pelbagai pilihan termasuk resort bertaraf 3 bintang, chalet, resort terapung atau rumah bot yang turut menyediakan makanan dan tempat penginapan. Rumah bot itu turut mengunjungi kawasan air terjun dan kawasan memancing dan menjanjikan kelainan kepada mereka yang menggemarkan alam semulajadi.
SUMBER: http://www.tourism.gov.my/my/




MUZIUM NEGERI



Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional.
Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.
Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu.
Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.
Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.


Pengangkutan
Kereta
Mereka yang ingin memandu sendiri ke Muzium, harus mengambil laluan ke Kampung Losong yang terkenal dengan pembuatan keropok lekor. Muzium itu dapat dilihat di atas Bukit Losong.

Bas
Hanya 15 minit perjalanan menggunakan bas dari stesyen bas MPKT ke Muzium atau Losong.

Teksi
Dari Stesyen Teksi Kuala Terengganu, perjalanan hanya 10 minit untuk ke muzium.


Talian Untuk Dihubungi
Pejabat Tourism Malaysia Negeri Terengganu, Tingkat 5, Menara Yayasan Islam Terengganu, Jalan Sultan Omar, 20300 Kuala Terengganu. Tel: +609-622 1433 / 1893 Faks: +609-622 1791

Penginapan
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di sekitar Kuala Terengganu



PULAU REDANG




Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.
Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.
Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni
Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.
Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau.
Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.

Tips
Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan.

Pengangkutan
Bot
Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu di talian : +609-622 1433 / 1893

Penginapan
Taman Laut ini menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan dari rumah tumpangan yang murah hingga resort bertaraf 5-bintang. Jika anda ke sini untuk menyelam skuba, anda di sarankan menempah tempat penginapan sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

SUMBER: http://www.tourism.gov.my/my/




PULAU PERHENTIAN












Pulau Perhentian sememangya destinasi yang mesti dikunjungi. Pulau ini terletak 21km dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian yang dilitupi hutan yang bersih, pepohon kelapa, pantai yang putih dengan pasir yang halus dan dikelilingi air laut yang biru dan jernih merupakan tempat persinggahan nelayan, burung-burung yang berhijrah dan pelancong yang datang bercuti di sini.


Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba dan snokel. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Pelancong yang gemarkan aktiviti meluncur papan air, belayar, berkenu dan memancing laut-dalam juga mesti berkunjung ke pulau ini.

Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk pelancong yang gemar aktiviti lasak. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan tempat penginapan dan makanan yang murah. Sebaliknya, Pulau Perhentian Besar, lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang lebih selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh di dapati di kedua-dua buah pulau ini.

Tips
Untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang paling mempesona di Pulau Perhentian, tuju ke Coral View Island Resort dan pesan minuman yang sejuk segar dari café di sini dan nikmati pemandangan yang memikat hati ini.


Pengangkutan

Jalan Darat
Dari Kuala Terengganu, naiki teksi atau bas ke pelabuhan Kuala Besut. Pelabuhan ini terletak kira-kira sejam perjalanan di utara bandar Kuala Terengganu. Jeti untuk ke Pulau Perhentian terletak di sini.

Jalan Laut
Di Kompleks Perikanan, naiki bot yang menuju ke Pulau Perhentian. Perjalanan bot ke pulau ini memakan masa selama satu jam.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pelancongan Negeri Terengganu di talian : +609-622 1433 / 1893

Penginapan
Pulau berkembar ini menawarkan pilihan hebat pelbagai jenis tempat penginapan dari rumah tumpangan yang murah hinggakan resort bertaraf 4-bintang. Jika anda ke sini untuk menyelam skuba, anda disarankan menempah tempat penginapan sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.
SUMBER: http://www.tourism.gov.my/my/


TAMAN TAMADUN ISLAM
Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.





Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.
Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.
Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).
Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.


Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.
Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.




Tips
Ini adalah taman tema pertama di dunia mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Layari laman web: www.tti.com.my

Pengangkutan
Teksi, Pengangkutan Awam
Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman ini sudah beroperasi. Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.


Bot penambang
Pelawat juga boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman itu.

Talian Untuk Dihubungi
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Pejabat Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Losong Panglima Perang 21000 Kuala Terengganu, Terengganu Tel: +609 627 8888 Faks: +609 630 9020. Anda juga bleh hubungi Pejabat Tourism Malaysia Terengganu di talian +609-622 1433 / 1893.


Penginapan
Terdapat pelbagai pilihan penginapan di Kuala Terengganu bagi para pengunjung ke bandar ini.

ISTANA MAZIAH
Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri.

Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.
Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870.
Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata.
Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.
Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.
Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.


Tips
Istana Maziah adalah kediaman rasmi Sultan Terengganu. Ia terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.


Pengangkutan
Kapal terbang, kereta, bas atau teksi
Anda boleh ke Istana Maziah menggunakan Jalan Zultan Zainal Abidin atau Jalan Hiliran. Untuk ke Terengganu, anda boleh menggunakan kapal terbang, kereta, bas atau teksi.


Penginapan
Terdapat pelbagai kemudahan penginapan di sekitar Kuala Terengganu untuk kemudahan pengunjung ke sini.