Sunday, August 1, 2010
Masjid Putih
Ramai pelancong dari Kedah,
Pasar Payang tempat tujuan,
Masjid Putih tersergam indah,
waktu sembahyang jadi tumpuan.
Masid Putih,atau Masjid sultan Zainal Abidin adalah masjid yang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu.Pengunjung-pengunjung yang ke Pasar Payang akan ternampak bangunan masjid ini yang tersergam indah.Masjid Putih ini adalah antara bangunan bersejarah yang tertua berada di bandar Kuala Terengganu.
Masjid Abidin yang juga dikenali dengan nama Masjid Besar atau Masjid Puteh telah dibina antara tahun 1793-1808 Masihi oleh Al-Marhum Sultan Zainal Abidin 11. Rumah suci bersejarah ini tersergam indah di atas sebidang tanah seluas 0.548 hektar (1.354 ekar ) di Kampung Masjid, Kuala Terengganu. Bangunan asalnya diperbuat daripada kayu.Bagaimanapun bangunan asal ini telah mengalami banyak perubahan dari segi struktur fizikalnya ekoran peredaran masa dan keperluan semasa.Di bawah pemerintahan Al-Marhum Sultan Umar ( Marhum Baginda ) kira-kira tahun 1852 bangunan kayu itu telah diganti dengan bangunan baru yang diperbuat daripada batu. Pada tahun 1901 Masihi semasa pemerintahan Al-Marhum Sultan Zainal Abidin 111, masjid ini sekali lagi mengalami pengubahsuaian. Bangunan yang diperbesarkan bagi menampung jemaah yang kian bertambah. Pembesaran ini melibatkan kerja-kerja pemasangan tiang-tiang di ruangan tengah bahagian dalam dinding, dinding tembok simen, sutuh serta tiga buah menara. Kali terakhir bangunan Masjid Abidin diubahsuai ialah pada tahun 1972. Sultan Terengganu ketika itu, Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah telah memerintahkan supaya masjid itu diperbesarkan sekali ganda lagi. Pembesaran ini membolehkan masjid ini menampung sejumlah 2,500 jemaah pada setiap masa. Serentak itu sebuah menara tinggi telah didirikan dan turut sama dibina ialah beberapa buah kubah di atas sutuh bangunan tersebut. Memang tidak dinafikan rumah Allah ini sentiasa menerima tamu terutama muslim yang ingin menunaikan solat lima waktu dan sembahyang Jumaat, tetapi jika diteliti dari sudut lain bangunan lama ini tidak dinafikan juga mempunyai daya tarikan sendiri yang unik.Keistimewaan yang tersendiri ini merupakan faktor penting yang secara tidak langsung mengiktirafkan masjid ini termasuk dalam kategori aset pelancongan negeri. Ini berkait rapat dengan ciri-ciri kesenian yang ada pada masjid ini. Pada sisi masjid dan bahagian atas pintunya dipenuhi dengan ukiran halus seni khat ayat-ayat al-Quran dan doa-doa.Selain itu masjid ini juga kaya dengan sentuhan ukiran ‘Awan Larat’ yang mempersonakan mata memandang. Tulisan Khat kasar pada pintu hadapan telah diukir oleh Tengku Abdul Kadir dan Abdul Rahman Istanbul. Bahagian dalam pula, masjid ini kelihatan begitu berseri dengan adanya sebuah mimbar berukir yang menarik. Mimbar yang ada ini direkacipta oleh Encik Abdullah Datuk Bandar manakala tulisannya oleh Tengku Abdul Kadir. Disamping kesenian, Masjid Abidin juga terkenal sebagai tempat persemadian diraja. Antara makam-makam yang terdapat di dalam masjid tersebut ialah Makam Al-Marhum Sultan Mansor Shah 1 dan Permaisuri Tengku Bulang, Al-Marhum Baginda Umar, Al-Marhum Sultan Zainal Abidin 111, Al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Al-Marhum Sultan Ahmad 11 dan Al-Marhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
SUMBER: http://www.trglib.gov.my/v1/index.php?option=com_content&task=view&id=210&Itemid=247
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment