SLIDE

Sunday, July 11, 2010

Asal nama Terengganu









Pak Ali menjual nangka,
Nangka dipetik diwaktu pagi,
Penduduknya ramah berbudi bahasa,
itulah Terengganu negeri tradisi.


Terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu" dan "Terengan nu". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang.

"Terangnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya".
Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu.
Sebuah kisah lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana, mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncullah Terengganu

No comments:

Post a Comment